Sunday, 29 June 2025

Rahsiakan hal rumahtanggamu, bukan semua ibu bapa kita kena tahu!

Ada perkara tentang hal rumahtangga kita tak perlu di cerita pada keluarga mahupun ibu bapa sendiri. Tambahan lagi jika ia menjadi punca keburukan dalam hubungan. Kena pandai menapis. 

Ada lelaki yang kononnya anak yang baik bercerita pada ibunya berapa duit bulanan yang dia beri pada isterinya, berapa helai baju raya yang isteri dan anak-anaknya ada. Perancangan percutian, hadiah anniversary cincin emerald bersama berlian berharga ribu riban. Ia kisah bahagia. Kena faham, bukan semua orang suka mendengarnya. Ia kenyataan yang perit tetapi benar. 

Elok sesuatu yang begitu, hanya anda suami isteri sahaja yang tahu, berkongsi memori indah. Salah kongsi dengan orang lain, memori indah atau kenangan manis itu boleh menjadi perang antara keluarga yang tidak sepatutnya berlaku. Menyesal pun tak berguna nanti. 

Kisah *Aina boleh dijadikan panduan. Bukan menuding jari pada sebelah pihak tetapi sebagai ketua keluarga, lelaki yang bergelar suami dan juga anak, harus peka keadaan ini dan sepatutnya mengambil langkah mendamaikan. Caranya? Di tempat yang perlu pengasingan, perlu kita letak had dan sekatan. Ada rahsia yang hanya suami isteri sahaja perlu tahu terutama bab kewangan. Bagaimana jika ibu bertanya, nak jawab apa? Jawablah dengan berhemah. "Mak, ini hal suami isteri, saya kena simpan amanah dan tak boleh cerita pada orang lain." Titik. 

Cerita ceriti Aina... Suami saya *Hadi memang rapat dengan keluarganya. Dia 3 beradik, anak bongsu, ada dua kakak. Ibunya pesara kerajaan yang dahulunya bergaji besar. Selain itu dapat juga pencen dari arwah suaminya. Kiranya suami saya ini anak orang senang. Dua kakaknya sudah berkahwin dan beranak pinak. Dua-duanya ada masalah rumahtangga, kakak sulung, suaminya berkahwin satu lagi. Kakak yang seorang lagi sudah bercerai lama dan sejak itu tinggal dengan ibu mereka. Dia mempunyai seorang anak perempuan belasan tahun.  Tidak bekerja dan kehidupan mereka ditanggung oleh ibu mentua saya sepenuhnya. 

Suami saya ini suka bercerita dan berkongsi apa saja dengan emak dan kakak-kakaknya. Mereka rapat. Saya tak kisah sebenarnya sebab saya pun rapat dengan emak, ayah dan adik-adik saya. Keluarga saya memang asal orang kampung namun ibu bapa saya kedua-duanya lepasan universiti tetapi walaupun mereka berkerjaya dan berpelajaran tinggi, saya sudah diajar sejak kecil supaya berpijak di bumi nyata dan low profile. Jangan sombong dan meninggi diri walaupun kami mempunyai kelebihan harta dan wang ringgit sebab semuanya tidak bermakna kalau perangai kita buruk.

Kerana kerapatan suami dan keluarganya, setiap rancangan percutian yang saya rancang dia beritahu pada keluarganya. Akhirnya, percutian keluarga kami berdua dan anak-anak kami yang dua orang menjadi percutian keluarganya semua apabila emaknya mahu mengikut sama dan membawa dua-dua anaknya sekali bersama keluarga mereka. 

Sesuatu yang sepatutnya menjadi acara santai saya, kononnya nak relaks bercuti setelah penat bekerja, menjadi sebaliknya. Sayalah kena organise perjalanan percutian itu. Mereka happy2, saya kena siapkan keluarga sendiri dan kena buat persiapan untuk mereka sekali kerana mereka kata 'tugas' saya semua tu kerana saya yang buat rancangan. Saya disuruh menjadi organiser dan suami pun minta saya buat begitu supaya masa perjalanan percutian kami berjalan lancar dan terancang. 

Memang saya yang merancang tapi itu rancangan saya yang melibatkan suami dan anak-anak saya sahaja. Saya tanya suami kenapa apabila kakaknya bercuti dengan keluarganya mereka tak ikut sama? Suami jawab sebab kakaknya tak pandai sangat organiser trip. Gitu...

Tak kisah kalau suami nak bercuti dengan keluarganya tetapi kenapa saya pulak yang macam 'pekerja' dalam keluarga mereka. Sepanjang 10 tahun perkahwinan ini, 4 kali percutian kami, setiap kali semua mereka ikut sama. Emak mentua akan ingatkan banyak kali yang saya jangan banyak 'songeh' sebab semuanya duit anak dia. Nak tahu, saya memang sedih dan tak gembira masa percutian itu kerana kita rasa macam bukan keluarga mereka. Apa yang saya nak beli semua dipantau dan dikomen oleh mereka walaupun saya guna duit sendiri. Sampai kalau teringin sangat nak sesuatu, saya sorok-sorok beli, siapa pun tak tahu. 

Suami lebih tertumpu dengan emak dan kakak-kakaknya dan saya pula bersama anak-anak bawa diri sendiri. Bila tanya Hadi kenapa layan kami begitu dia jawab saya boleh berdikari sendiri berbanding emak dan kakaknya yang perlukan lelaki bersama mereka. Sedih kan. 😥 Tapi saya terus bersabar. 

Selain dari itu setiap kali saya memakai apa-apa barang seperti beg tangan baharu, baju baharu, barang kemas baharu, mereka akan belek-belek dan tanya beli di mana, berapa harga dan untunglah saya kerana dapat menghabiskan duit anak atau adik mereka.

Sebenarnya suami pernah bercerita pada mereka hadiah yang dia berikan pada saya sempena anniversary kami yang kelima beberapa tahun lepas. Sejak itu mereka sangka semua yang saya pakai dibeli dengan duit si Hadi. 

Memang suami beri nafkah anak dan makan minum kami semua kerana memang itu tanggungjawabnya. Hari raya belikan baju raya. Nak masuk sekolah belikan baju sekolah dan peralatan sekolah. Kenapa itu pun dijadikan ungkitan. Jika kami makan-makan diluar, suami masukkan dalam grup whatsap keluarganya gambar kami sedang menjamu selera, saja nak seronok-seronok. Apa yang terjadi ialah mereka perli-perli saya dan anak-anak membazir dan menghabiskan duit sahaja, dan kenapa saya tak balik rumah memasak? Padahal, saya juga bekerja dan sama-sama penat seperti Hadi. 

Ada masa kami menyambut hari jadi anak dan makan luar, kadang Hadi bayar dan ada masa saya yang belanja. Saya tak berkira bab anak-anak dan keluarga kecil kami. Tapi bila berjumpa mereka herdik saya menghabiskan duit Hadi membeli kek mahal untuk anak. Saya diam sahaja kerana menunggu Hadi menjawab yang membeli kek itu adalah saya - menggunakan duit saya. Hhmmm... Dia hanya diam buat-buat tak dengar. 

Lama-lama, tekanan demi tekanan, saya dan Hadi kerap bergaduh kerana perkara-perkara ini. Dari bergaduh kecil menjadi pergaduhan besar. Hadi terus dengan sikapnya yang tak mahu membela saya, diam sahaja apabila emak atau kakaknya cakap apa-apa. Anak-anak kami turut diperli dengan ayat yang sedih saya mendengarnya. Kalau di rumah nenek mereka dan mereka duduk melepak menonton tv, nenek atau ibu saudara mereka akan mengherdik, 'tak reti bersyukur, menghabiskan duit bapak je tahu, pemalas' dan macam-macam lagi. Padahal, yang menonton tv itu bukan anak saya sahaja tetapi sepupunya yang lain juga sama.

Saya sedih sangat dan itu jadi kemuncak kesabaran menjadi luntur dan semakin hilang. Akhirnya meletup. 

"Mak ingat semua barang yang saya ada ini Hadi yang beli ke? Mak tanya anak emak, gaji dia berapa? Dia diploma, saya ada masters tapi tak pernah pun saya pandang rendah pada dia.  Barang-barang kemas ini, hanya cincin kahwin dan cincin emerald itu sahaja yang dia beli. Lain-lain saya beli dengan duit gaji sendiri! Ini, rantai leher ini emak saya hadiahkan. Emak saya pensyarah, bapa saya jurutera, mereka pun mampu beri saya macam-macam, saya tak perlu kikis duit Hadi!" Saya menjawab akhirnya. Itu pun kerana anak-anak saya menangis kerana dihina dan diherdik oleh mereka. Sebelum ini sudah jenuh cuba bersabar. 

Sejak itu saya tak mahu lagi ke sana. Sebab kalau balik kena hina dan perli macam-macam. Saya beritahu Hadi, tak nak putuskan hubungan dia dengan keluarga, jadi dia baliklah. Jangan paksa saya. Hadi marah dan kata saya berlebih sangat melayan perasaan. Dia suruh juga saya balik dan sekiranya terjadi apa yang saya katakan itu, dia suruh saya pekakkan telinga. 

Akhirnya, selepas 14 tahun saya duduk berbincang dengan suami kerana satu demi satu, emak dan kakaknya terus menganggu dan tak mampu bertahan lagi. Rasanya lebih baik kami bercerai supaya Hadi dapat hidup dengan cara dia dan saya juga dapat bahagia dengan cara saya sendiri. 

Kami bercerai selepas itu kerana keadaan tidak berubah dan Hadi juga tidak mahu berubah. Selepas 14 tahun, siapa yang tidak sedih. Tapi itulah ketentuanNya. Beberapa hari selepasnya emak mentua dan kakak ipar datang menghalau saya keluar dari rumah. Malu alah Hadi memberitahu mereka, rumah itu rumah saya yang dihadiahkan oleh bapa saya. Begitu juga kereta dan rumah kedua kami yang kami sewakan. Semuanya harta ibu bapa saya yang mereka berikan kepada saya. Seperti biasa emaknya tak percaya tetapi Hadi cepat-cepat membawa mereka keluar dari rumah. 

Sebenarnya suami saya orang yang baik cuma dia tidak tahu dan tidak mahu belajar bagaimana menjaga hati insan-insan yang disayanginya. Sebagai 'orang luar' saya selalu disuruh bersabar dan beralah sebab kata Hadi kasih sayang kami sepatutnya mengatasi semua itu. Namun, selepas 14 tahun saya mula merasakan kasih sayang dan sikap beralah hanya diwujudkan untuk saya seorang sahaja sepanjang tempoh itu. Dan kata-kata mereka pada saya dan anak-anak semakin hari semakin teruk dari sebelumnya. 

Kalaulah Hadi membela kami sedikit pun jadilah. Tetapi dia sentiasa berdiam kerana katanya, dia perlu menjaga hati ibu dan kakak-kakaknya kerana mereka darah dagingnya dunia akhirat. Walau cara mereka memanggil saya dengan kata-kata yang tak wajar langsung seperti 'kaki kikis, lintah, penghabis duit Hadi, anak tak sedar untung' dan macam-macam lagi yang menghina dan menyedihkan. Dia hanya diam. 

Selepas setahun bercerai saya membawa anak-anak bercuti ke Australia. Tak beritahu sesiapa kecuali ibu bapa sendiri, tak juga posting di mana-mana laman sosial. Tapi anak sulung saya, Kak Long yang sering berhubung dengan ayahnya menghantar gambar percutian kami ke ayahnya tanpa fikir apa-apa, sekadar bersangka baik. Dia kemudiannya menerima voice note dari neneknya. Yang memarahi kami kerana bercuti menghabiskan duit Hadi. Dia tuduh kami bercuti dengan duit anaknya dan menyuruh saya mengajar anak-anak supaya jangan mengikis duit bapa mereka lagi. 

Anak saya, tanpa saya ajar atau komen apa-apa, menghantar kembali voice note. "Nenek, kami holiday dengan duit ibu. Satu sen pun papa tak beri apa. Berdosa nenek buat fitnah begitu. Papa, please, for once, don't let them insult my ibu again. I'm only 13 years old but I'm so disappointed and angry because you are so weak and lets the insults continue to happen even though you're divorced from each other."

Ya, saya bercuti dengan menggunakan duit sendiri. Kak Long menangis selepas itu dan saya memujuknya. 

"Next year, ibu dapat bonus, ibu, Kak Long dan adik, kita bercuti di Hokkaido pula ya, main salji. Okey Kak Long? Just the 3 of us, insyaAllah."

Kak Long mengelap air mata dan kami berpelukan. 


* Bukan nama sebenar. Kisah ini disunting/ditulis/diubah dan sekadar fiksyen. Yang baik jadikan tauladan, yang tidak baik jangan diikut serta mesti dijauhi. 




Seronok dapat menjamu makan!

Betul. Menjamu orang makan adalah sikap yang baik. Bukan sahaja kita seronok apabila orang menjamu kita, sebaliknya, jika kita yang menjamu orang, keseronokannya sukar diungkap dengan kata-kata. 

Bila kita dapat memberi makan dan melihat mereka gembira menjamu selera, hati rasa puas. Kita pula tak lalu makan, rasa 'kenyang' tengok orang lain menikmati apa yang terhidang. 

Menjamu ahli keluarga, kawan-kawan, mahupun orang yang tidak dikenali adalah salah satu cabang sikap manusia yang harus memberi. Tangan yang memberi lebih baik daripada yang hanya menerima. Tapi saya tak mampu, bagaimana? Adakah kekurangan itu menghalang kita daripada menjamu dan bersedekah? Daripada memberi?

Sebenarnya tidak perlu mempunyai banyak wang untuk mengumpul pahala. Memberi tidak semestinya besar. Kecil pun, memadai. Boleh sahaja memberi kuih-muih, sama ada membelinya atau membuat sendiri, untuk diberikan kepada sesiapa yang kita mahu. 

Contohnya, anda membeli sarapan untuk dimakan di pejabat sebelum mula bekerja. Belilah nasi lemak itu dua tiga bungkus lagi. Untuk rakan-rakan terdekat di pejabat. Atau untuk pengawal keselamatan yang menjaga pintu pagar memasuki ruang tempat bekerja anda. Untuk si tukang cuci yang sering anda nampak dia menyapu lantai dan membuang sampah. Mungkin bajetnya tidak sampai pun RM20. Anda boleh lakukannya sebulan sekali mengikut kemampuan. Kalau mampu lebih, buat beberapa kali sebulan pun tidak mengapa. 

Kadang, kawan-kawan mengajak kita minum petang di gerai berdekatan. Anda boleh belanja mereka sekali sekala. Cuma, sekiranya anda tidak mampu cara membeli, pilih cara yang lebih murah contohnya memasak mee goreng dan bawa ke pejabat. Makan dengan kawan-kawan bersama di waktu rehat. Tak pandai memasak? Bermulalah! Bermula belajar memasak dan bayangkan apa yang boleh anda lakukan dengan kepandaian itu. 

Ada orang mahu mengajak ahli keluarga makan-makan di rumah, tetapi tidak mampu. Sedih... Selalu adik beradik anda sahaja yang buat majlis makan, anda tak mampu kerana kewangan yang terhad. Apa kata, bila mereka buat makan-makan, anda tawar diri untuk bawa sesuatu. Contohnya kuih-muih atau pun sejenis lauk tambahan. Sekiranya untuk 10 orang makan, anda boleh mamasak lauk ayam masak kicap sebagai tambahan menu sedia ada. Dari situ, orang lain bersedekah, anda pun boleh tumpang sama. Modalnya mungkin sekitar RM25 sahaja untuk seekor ayam bersama bahan-bahannya. Jika ada tawaran, harga ayam menjadi murah lagi. Bijaklah membeli. 

Ada kala, kita kena ambil kesempatan dengan 'menumpang' orang lain dalam sama-sama melakukan kebaikan. Dia bersedekah dan memberi, kita tumpang sama. Niat yang baik pasti Allah permudahkan. 

Oh... Teringin hendak mengajak ahli keluarga makan-makan di rumah dengan dana yang terhad? Anda boleh, cuma buat bajet betul-betul supaya tidak melampaui apa yang anda ada. 

Mula-mula, letak siap-siap berapa wang yang anda ada. Contohnya ada hanya mampu memperuntukkan RM250 untuk tujuan itu setelah mengumpulnya sekian lama. Ahli keluarga pula ada seramai 12 orang dewasa. Termasuk anda dan suami, 14 orang.

Percayalah. RM250 itu cukup! Malah, jika anda pandai merancang, ia mungkin lagi berbaloi. 

Mula-mula rancang menu. Di sinilah anda kena bijak dan berhemah. Jika ia untuk makan tengahari bermakna anda perlu menyediakan hidangan berat. 

Cadangan menu:

1. Nasi ayam

2. Nasi tomato

3. Nasi putih dan lauk-pauk. 


Jika pilihan anda yang nombor 3, anda perlu menyediakan dua lauk. Anda mungkin rasa sukar membajet kerana nak buat lauk ayam atau ikan atau makanan laut yang lain. Besar belanjanya tu. Sayur pula kena ada. Untuk berjimat tapi masih mendapat hidangan yang lengkap, saya cadangkan anda buat sup ayam bersayur, ikan goreng bersambal dan telur dadar. Oh, sambal belacan jangan lupa. 

Pemanis mulut, buah-buahan. Untuk tambahan menu, sejenis kuih seperti karipap atau pun cucur badak. Minuman pula boleh membuat sirap atau kordial strawberi sendiri atau pun limau ais yang menyegarkan. 

Jika bajet RM250 anda ada lebih, boleh tambah rojak buah atau pecal. 

Nah, dengan kesemua hidangan itu, makan-makan anda sudah penuh meja dan lengkap lagi menyelerakan. 

Menjamu nasi ayam atau pun nasi tomato sebenarnya lebih simple suasananya. Jadi, anda tambahlah dengan kuih muih lebih sikit, contohnya, puding jagung dan cucur badak! 

Pastikan juga tetamu anda tidak elergik mana-mana lauk yang anda sediakan. Jika ada yang tak makan ayam, bermakna untuk dia anda sediakan lauk yang sesuai. Tambah sedikit kari ikan contohnya dan beritahu pada tetamu lain, itu untuk yang alergik ayam. Mereka pasti faham. Namun, jika bajet anda cukup untuk menghidang dua lauk sekaligus, boleh juga begitu. Untuk sayur, boleh ditambah acar atau salad dan ulam-ulaman.  

Jadi, anda rancanglah! Setahun sekali atau dua kali, anda mahu menjamu makan ahli keluarga atau kawan-kawan. Menyimpanlah sedikit demi sedikit bagi tujuan itu. Kita buat dengan cara dan kemampuan kita sendiri. Seronok... 

Belajar buat sendiri. Kita boleh!


Sunday, 1 June 2025

Serik ke majlis reunion sekolah




*Sarah* jarang turut serta bila kawan-kawan sekolahnya mengadakan majlis reunion. Bukanlah dia sombong atau tidak suka bergaul dengan kawan-kawan lama tetapi selalunya kerana kekangan kerja, tarikh yang tidak sesuai dan ada urusan lain, membuatkan dia tidak dapat hadir sama. 

Baru-baru ini selepas hampir 30 tahun tidak berjumpa Sarah mulai ada sedikit kelapangan. Dia pergi ke jemputan kawannya yang mengadakan kenduri perkahwinan anaknya. Itulah pertama kali dia berjumpa kembali kawan-kawan sekolah menengahnya setelah sekian lama. 

Balik dari perjumpaan itu dia bercerita dengan kakaknya, betapa dia menyesal pergi dan mungkin tidak akan menyertai lagi mana-mana perjumpaan selepas itu. 

"Kenapa?" tanya kakaknya, Salmi. "Tak seronok ke jumpa kawan-kawan lama?"

Sarah melepaskan keluhan. Lama dia mencari kata-kata. "Bukanlah tak seronok. Seronok. Jumpa kawan lama. Kami sembang macam-macam, mengimbau kenangan, gelak-gelak. Bergambar..."

"Dah tu?"

"Yang datang tadi semua dah berumur dah. Nak masuk 50 tahun. Tahun depan, semua kami berumur 50 tahun. Ada yang bermenantu, bercucu pun ramai. Tapi..."

"Jumpa musuh lama ke?" Kakak Sarah menelah. 

"Musuh tu bukanlah tapi yang mana waktu sekolah dahulu bergaduh, sampai sekarang masih bergaduh lagi. Lepas tu, masing-masing tak berubah, masih ikut kelompok sendiri macam zaman sekolah dulu."

"Ramai ke yang datang tadi?"

"Adalah dalam 30 orang. Kami semua satu tingkatan sekitar 100 orang kot. Tadi yang datang tu dalam pelbagai kelas. Kelas pandai, kelas tak pandai, kelas sederhana. Aku dalam kategori tak pandai kot." Sarah dan kakaknya sama-sama tergelak.

"Paling tak best ialah ada yang perli memerli..." Sarah meneruskan cerita. 

"Body shaming ke? Manusia macam ini sentiasa ada je di mana-mana."

"Itu pun ada! Kononnya bergurau tapi aku tengok kawan aku tu berubah mukanya bila sorang ni yang mulut lepas kata kat dia, kenapa kau gemuk sangat, muka macam orang tua dan langsung tak sama macam dulu. Hadoi. Zaman sekolah menengah kot... Takkanlah masih sama!"

"Dia yang mengata tu cantik sangat ke?"

"Itulah. Hati aku ni nak balas je. Kau pun gemuk, muka berkedut. Tapi tahan je mulut ni. Takut bergaduh. Lepas tu ada yang membanding-banding kerjaya. Si anu tu pangkat besar, Si Tun tu lakinya pangkat tinggi, anak siapa entah hebat sangat mereka cerita. Tak best je rasa sebab ada antara kami yang kerja biasa je, kahwin orang biasa atau ada yang tak berkahwin dan juga tak mempunyai anak. Lama-lama, makin diam grup kami sebab tahu ada perkara sensitif yang dijadikan gurauan. Masing-masing rasa sesuatu."

Sarah mahu menegur tetapi kerana dia pun jarang hadir ke perjumpaan maka dia hanya mendiamkan diri. Mujurlah ada seorang kawan yang menegur, meminta supaya mereka bersembang perkara lain yang tak ada kena mengena dengan hal peribadi. Kalau boleh cerita kenangan zaman sekolah dulu.

"Selepas itu, kami sembang hal zaman sekolah dulu. Mula-mula okey tiba-tiba ada yang perli aku, katanya aku suka membodek cikgu sebab itu banyak kelebihan."

"Hah, pulak!"

"Zaman sekolah lagi manusia dah berdengki-dengki. Kita hormat guru, berbuat baik dengan guru, dikata kita membodek. Agaknya mereka nak kita kurang ajar dengan guru, cakap kasar, tak hormat guru, baharu dikatakan geng mereka kot."

Sarah sebenarnya tersentak tadi kerana dia dikatakan membodek guru membuatkan dia sentiasa lulus cemerlang dalam ujian. Sedangkan dia bekerja keras waktu itu. Dia tak mampu ke kelas tuisyen berbayar jadi semuanya buat sendiri-sendiri. Belajar, mengulangkaji, bangun sebelum subuh untuk membaca nota dan buat latih tubi setiap hari sebelum solat. Tak mampu beli buku tambahan, Sarah meminjamnya di perpustakaan. Dia juga rajin hadir mana-mana kelas tambahan yang diadakan guru walau tak ramai yang mahu datang. Kadang, dalam kelas tambahan percuma itu ada beberapa orang sahaja yang turut serta. Sarah, wajib hadir!

Tapi mereka mengatanya membodek kerana itu lulus cemerlang. Meski diucap secara gurauan, Sarah tetap terasa hati. '

"Ada beberapa kawan yang okey tadi jadi aku akan pilih-pilih nanti jika ada lagi majlis reunion. Yang perangai suka sindir, perli, body shaming tu, seboleh mungkin nak elakkan." Kata Sarah. 

Kita jagalah mulut dan kata-kata supaya jangan melukakan hati orang walaupun niat asalnya mahu bergurau. Jangan kehadiran kita di majlis-majlis membuatkan orang lain tidak mahu turut serta kerana tak sanggup menghadap buruknya kata-kata kita.  

Sekadar Cerita Ceriti...


* BUKAN NAMA SEBENAR

Memburuk dan memfitnah rakan serumah supaya berpindah...

  Sekadar Cerita Ceriti... Jadikan kisah ini sebagai pengajaran yang menjadi panduan agar anda tidak melakukan kesilapan dan tindakan yang s...