Tuesday, 1 July 2025

Ibu tidak dijemput majlis perkahwinan anak sendiri 🥺

 Hari ini di sebuah laman sosial saya mendengar cerita tentang seorang ibu tunggal, *Molly yang berusia 56 tahun. Dia mempunyai dua anak, *Susan, 27 tahun dan *Liam, 26. Suami Molly meninggal dunia ketika anak-anak masih kecil sekitar 10 dan 9 tahun usia mereka. Sejak itu, Molly meletakkan dirinya hidup hanya untuk anak-anak itu sehinggalah mereka dewasa. Walaupun mempunyai pekerjaan, namun dengan 3 mulut yang hendak disuap, bukanlah mudah bagi Molly. Dia perlu berjimat untuk semua perbelanjaan mereka. Sekolah, luar sekolah, hobi, kegembiraan, sukan, kesihatan dan macam-macam lagi. Kalau boleh dia tidak mahu Susan dan Liam merasa kekurangan apa-apa pun. 

Dunianya hanya untuk mereka sehingga di suatu pagi yang hening itu. 

Sedang bersiap-siap hendak keluar bekerja, dia menerima mesej dari Susan. Sangkanya, Susan mahu berkongsi rasa kerana 3 minggu lagi, anaknya itu akan berkahwin dengan tunangnya, Peter. Tapi dia perasan, mesej kali itu berlainan dari biasa kerana ia seperti sebuah surat pula. 

"Mummy, seperti yang sudah sedia maklum, tarikh majlis perkahwinan saya sudah ditetapkan di negeri asal usul keluarga Peter iaitu di Paris. Kami baharu sahaja berbincang sekeluarga dan ibu bapa Peter mahu ia diadakan secara rapat dengan dihadiri orang terdekat kami sahaja. Emak Peter memang cerewet tentang perkara ini dan dia yang uruskan semua jemputan untuk hari itu. Dia tegas memastikan hanya orang yang layak sahaja dijemput. Mummy, kami rasa mummy tidak perlu datang kerana lebih mudah mummy menontonnya di laman wed yang kami akan wujudkan secara live nanti. Ia sama sahaja. Malah lagi senang begitu dan terasa seperti berada di suasana yang sebenar. Hehehe. Jadi mummy tak perlu datang."

Molly terkedu. Betulkah apa yang dibacanya itu? Siapakah dia pada mereka? Dari ayat ditulis Molly, sepertinya dia bukan ahli keluarga tetapi sekadar orang jalanan yang ditemui ketika minum kopi di restoren kegemaran. Berbulan lamanya dia teruja dan gembira kerana anak perempuannya bakal berkahwin di Paris dan dia sebagai ibu kepada pengantin merasa itulah hari yang dinanti-nantinya selama ini. Dan dia tidak dijemput?

Molly memegang cawan kopi, rutinnya setiap pagi. Sebelum keluar ke tempat kerja dia selalunya menikmati secawan dahulu. Cawan itu masih panas tetapi dia tidak merasa mahu meminum apa pun. 

Dia kemudian mengambil telefonnya dan membalas dengan suatu ayat pendek yang dirasanya cukup sempurna. "Okey, noted. Have fun!"

Tiga minggu lepas dia telah memasukkan 30,000 kepada Susan untuk membantu belanja perkahwinannya. Susan tahu dia sudah menyimpan sehingga 80,000 untuk majlisnya itu. Jumlah 30,000 itu adalah untuk segala macam deposit seperti deposit dewan, katering, bunga, kek, photographer dan lain-lain. Hari ini sepatutnya bayaran penuh perlu dilangsaikan. 

Keluarga Peter? Mereka hanya buat keputusan, memilih tempat serta kedai dan menu makanan. Bukan menyumbang kewangan pun. Molly tidak kisah kerana baginya, mereka nanti akan jadi sekeluarga juga. Lagi pun dia hanya mementingkan kebahagian Susan. Susan bahagia, dia pun bahagia. 

Molly menghabiskan kopinya yang sudah semakin sejuk. Kakinya melangkah ke pejabat dengan kereta tuanya. Kereta itu telah digunanya sejak suaminya hidup lagi. Banyak kali rosak dan perlu mengganti itu ini. Adik beradik dan kawan-kawan menyuruhnya membeli kereta baharu tetapi dia tidak pernah memikirkan keperluannya. Bukan tidak teringin tetapi kerana duit yang ada perlu disimpan untuk kegunaan Susan dan Liam. 

Sampai di pejabat, komputer dibuka dan memulakan kerjanya yang sudah bertimbun di meja seperti biasa. Sepatutnya dia sudah bersara tetapi dia terus bekerja kerana hatinya masih merasakan yang Susan dan Liam, masih perlu dibantu. 

Kenapa dia tidak menangis? Kenapa dia tidak meraung kesedihan atau setidak-tidaknya menelefon memarahi Susan? Molly sendiri hairan. 

Mungkin kerana dia mulai sedar. Bagaimana selama ini, anak-anaknya tidak pernah sekali pun mengucapkan terima kasih kepadanya. Harijadi, walau dia berulang kali mengatakan dia tidak menyambutnya tetapi sehingga jam 12 malam di tarikh itu, dia masih menunggu salah seorang dari mereka memberikan ucapan kecil kepadanya. Tiada, sehingga tahun berganti tahun. Namun, setiap kali hari jadi Susan atau pun Liam, dia sentiasa memastikan menyimpan wang seawal mungkin supaya dapat mengadakan majlis yang meriah dan memberi hadiah idaman mereka.

Dia teringat perancangan percutian mereka. Setiap kali ia dibatalkan kerana Susan dan Liam terlalu sibuk dengan kerja atau pun mahu ke suatu destinasi dengan kawan atau insan tersayang mereka. Dia tidak pernah termasuk dalam kegembiraan mereka. 

Setahun lalu, Liam memberitahu teman wanitanya hanya mahu serius dengannya dengan syarat dia ada kerjaya tetap dan rumah sendiri. Liam menyuruh emaknya membuat pinjaman rumah untuknya dahulu. Bila ditanya, tentang deposit 15,000 yang diperlukan, Liam terus meminta si emak menyelesaikan. Molly, tidak merasakan ia beban tetapi sebagai tanda kasih sayangnya kepada anak lelakinya. Lalu, dia membayar 15,000 tanpa berfikir dua kali supaya Liam dapat mempunyai rumah sendiri. Tidak lama lagi rumah itu akan ditukar ke nama si anak. 

Temannya Marion menghampirinya. Dia dan Marion berkawan sejak masing-masing belum berkahwin lagi. Marion bertanya kenapa wajahnya lain sangat, seperti ada masalah besar yang melanda. Dia melemparkan senyuman sambil berkata tiada apa-apa, mungkin kerana kurang tidur. Marion mengajak makan malam bersama kawan-kawan sebaya mereka di sebuah restoran Itali yang baharu dibuka di taman perumahan mereka. Dia automatik menolak. Sesuatu yang sering dilakukannya. Dia tidak pernah meluangkan masa bersama kawan-kawan seperti makan-makan diluar kerana tidak mahu menggunakan wang untuk sesuatu yang baginya tidak berguna. Dia sentiasa berjimat dan menyimpan untuk masa depan mereka sekeluarga.

Walaupun sekarang, mereka semua sudah bekerja dan berpasangan, aku tetap tidak memikirkan tentang diri aku sendiri.... kata hatinya. 

"Eh, Marion! Pukul berapa kamu semua mahu makan-makan itu?"

Terkejut Marion kerana itu sesuatu yang tidak pernah dilakukan Molly. "Kita bergerak sama-sama dari pejabat ini jam 6. Saya sudah buat tempahan jam 7 di sana."

Setelah Marion pergi, Molly baharu mengambil telefon bimbit di dalam beg tangannya dan dia nampak 20 missed called dari Susan. Juga berpuluh mesej kemudiannya. 

'Mummy, kenapa tak jawap call? Mummy, cepatlah! Saya perlukan kamu! Mummy, kamu di mana, kenapa tak balas? Mummy, kita perlu bercakap! Mummy!'

Sehingga habis waktu bekerja, Molly sudah tekad, tidak mahu membalas mesej atau menjawap panggilan Susan lagi. Liam pula menelefon dan menghantar mesej. 

Dia terus menerima missed called dan mesej dari Susan dan Liam tanpa henti. 

'Mummy! Kenapa buat begini pada saya? Mummy jawablah, jangan mengainaya anak kamu sendiri! Mummy, kamu dah kenapa?'

Entah mengapa, Molly merasa hatinya kosong. Dia merasa penat. Selama ini, hanya dia yang menjaga hati, memberi kasih sayang, dan mementingkan kedua-dua anaknya. Hanya dia menjadi pemberi dan mereka tanpa perlu bersusah payah menjadi penerima. Dia berkorban segala-galanya demi mereka. Tidak memikirkan kebahagian seperti bercinta semula dan berkahwin baharu walau anaknya sudah dewasa. Dia tidak membeli belah, melainkan untuk Susan dan Liam. Pakaiannya masih yang sama dan lama, tidak berganti sejak kematian suaminya dahulu. Kalau ada pun pakaian baharu ia adalah hadiah Krismas yang diberikan adik beradiknya kepadanya. Dia tidak pernah bercuti, berjalan-jalan bersama kawan atau adik beradik ke mana-mana kerana sentiasa mahu berjimat.

Makan malam bersama Marion dan kawan-kawan lain seperti suatu langkah yang sebelum ini tidak mahu diambilnya. Ia menjadi pemula. Dalam perjalanan pulang, Marion yang menumpang keretanya bercerita tentang majlis harijadinya yang akan disambut anak-anaknya minggu hadapan. Anak-anaknya merancang majlisnya disambut di Pulau Impian. Mereka uruskan semua dari kewangan hinggalah ke jemputan. Marion menjemput Molly sekali. Ketika itulah Molly menangis semahu-mahunya di bahu Marion dan menceritakan apa yang terjadi. Marion hanya mendengar dan memegang tangannya kemudian berkata, "Molly, sudah masanya kamu berhenti memberi..."

Sampai di rumah dia nampak ada seorang lelaki sedang menunggu di laman rumahnya dengan baju pejabat yang belum diganti. Liam. Tanpa bertanya khabar atau mengucapkan salam, Liam terus menengkingnya. 

"Mummy, apa semuanya ini? Mummy tahu tak Susan hampir gila sekarang?"

"Gila? Kenapa pula? Apa kena mengena dengan saya?"

Sebenarnya ketika itu hatinya sebak sangat. Sebak dengan apa yang dilakukan Liam kepadanya. Sedikit pun anak itu tidak merasa apa yang dia rasa. 

"Mummy tahu tak? Baki bayaran perlu dilangsaikan esok. Kenapa Mummy tidak bank in lagi kepada Susan?"

"Mungkin sebab ia bukan lagi tanggungjawab saya..." Molly membalas perlahan. 

"Mummy, sebab kami rasa Mummy tak perlu hadir itukah yang membuat perkara ini terjadi? Kenapalah Mummy selalu beri masalah begini dan pentingkan diri sendiri. Sudahlah semua hal tentang perkahwinan Susan keluarga Peter yang uruskan..."

"Keluarga Peter yang uruskan? Saya dah beri 30,000 sebelum ini jadi rasanya sudah mencukupi bahagian saya. Yang seterusnya biarlah keluarga Peter yang tambahkan kerana mereka bukankah orang yang rapat dengan Susan."

"Mummy... Begini..." Liam cuba memujuk. "Mummy masukkan 80,000 itu dan mungkin keluarga Peter dan Susan boleh ubah mana-mana tempat dan masukkan nama Mummy sekali sebagai tetamu. Janganlah buat begini pada Susan. Mereka sudahlah tak sukakan Mummy, ini menguatkan lagi perasaan itu pada Mummy nanti."

"Saya tak peduli pun.."

"Apa mummy?"

Molly menuju ke pintu rumahnya dan membukanya. "Liam, kamu balik sahaja."

"Apa mummy?"

"Balik. Saya tak perlukan kamu lagi..." Molly masuk ke dalam rumahnya dan menutup pintu itu kembali. Membiarkan Liam ternganga mulutnya melihat apa yang terjadi.

Di dalam, Molly menangis perlahan-lahan. Sepatutnya memang wang 80,000 itu masuknya hari ini jam 2 petang tadi kepada Susan. Pagi tadi dia membatalkannya. Dia akan menggunakan duit itu untuk dirinya sendiri sekarang. 

Telefon bimbit ditutupnya. Off. Ada satu telefon lamanya yang masih berfungsi, dia menghubungi Marion dan memberitahu, mahu mengikutinya ke Pulau Impian, menyambut hari jadi sabahatnya minggu hadapan.

"Okey, aku masukkan nama kau sekali!" kata Marion.

"Marion, tolong ingatkan aku untuk bahagia selepas ini!"

"Mesti. Aku akan pastikan! Ingat, duit simpanan persaraan kita itu, kita gunakan untuk gembirakan diri kita. Tahun depan, kita bersara sama-sama. Aku dan Emma mahu bercuti ke Thailand. Kau mahu ikut!"

"Oh, aku tak sangka akan jawab sebegini. Ya, aku mahu. Selain dari itu, aku teringin untuk masuk ke kelas masakan pastri yang kau ikuti itu. Dan kelas yoga..."

"Jom! Setiap hari jadual kita akan penuh nanti! Oh tadi kamu tanya fasal Sarah kawan kita yang real estate agent itu kan. Aku dah hubunginya. Dia boleh tolong mencari pemberi rumah kamu yang satu lagi tu. Dan dia kata, akan pastikan kamu dapat keuntungan. Happy tak, Molly."

"Happy, Marion. Thank you, my friend!"

Sebulan kemudian, dari kawan baik Susan, si Iris yang Molly tidak sengaja temui di pasaraya, dia mendapat tahu apa yang dirancang Susan semua bertukar kerana suatu 'masalah' yang tidak dapat dielakkan. Keluarga Peter sekadar mengadakan majlis kecil di belakang rumah mereka dengan jemputan sekitar 20 orang sahaja. 

"Kamu pergi ke Pariskah, Iris?"

"Oh, tidak, saya hanya tengok secara online. Molly beritahu yang hadir hanya ahli keluarga rapat sahaja. Makcik pergikan?"

"Oh... Saya juga tidak pergi..."

"Kenapa? Kamu bukankah ibunya?"

"Saya tidak dijemput..."

Molly memegang dadanya. Dia tidak merasa sedih, marah atau kecewa lagi. Dia kini merasa bebas. Bebas mencari bahagia. 

* Bukan nama sebenar. Kisah ini disunting/ditulis/diubah dan sekadar fiksyen. Yang baik jadikan tauladan, yang tidak baik jangan diikut serta mesti dijauhi. 




No comments:

Post a Comment

Memburuk dan memfitnah rakan serumah supaya berpindah...

  Sekadar Cerita Ceriti... Jadikan kisah ini sebagai pengajaran yang menjadi panduan agar anda tidak melakukan kesilapan dan tindakan yang s...