Betul. Menjamu orang makan adalah sikap yang baik. Bukan sahaja kita seronok apabila orang menjamu kita, sebaliknya, jika kita yang menjamu orang, keseronokannya sukar diungkap dengan kata-kata.
Bila kita dapat memberi makan dan melihat mereka gembira menjamu selera, hati rasa puas. Kita pula tak lalu makan, rasa 'kenyang' tengok orang lain menikmati apa yang terhidang.
Menjamu ahli keluarga, kawan-kawan, mahupun orang yang tidak dikenali adalah salah satu cabang sikap manusia yang harus memberi. Tangan yang memberi lebih baik daripada yang hanya menerima. Tapi saya tak mampu, bagaimana? Adakah kekurangan itu menghalang kita daripada menjamu dan bersedekah? Daripada memberi?
Sebenarnya tidak perlu mempunyai banyak wang untuk mengumpul pahala. Memberi tidak semestinya besar. Kecil pun, memadai. Boleh sahaja memberi kuih-muih, sama ada membelinya atau membuat sendiri, untuk diberikan kepada sesiapa yang kita mahu.
Contohnya, anda membeli sarapan untuk dimakan di pejabat sebelum mula bekerja. Belilah nasi lemak itu dua tiga bungkus lagi. Untuk rakan-rakan terdekat di pejabat. Atau untuk pengawal keselamatan yang menjaga pintu pagar memasuki ruang tempat bekerja anda. Untuk si tukang cuci yang sering anda nampak dia menyapu lantai dan membuang sampah. Mungkin bajetnya tidak sampai pun RM20. Anda boleh lakukannya sebulan sekali mengikut kemampuan. Kalau mampu lebih, buat beberapa kali sebulan pun tidak mengapa.
Kadang, kawan-kawan mengajak kita minum petang di gerai berdekatan. Anda boleh belanja mereka sekali sekala. Cuma, sekiranya anda tidak mampu cara membeli, pilih cara yang lebih murah contohnya memasak mee goreng dan bawa ke pejabat. Makan dengan kawan-kawan bersama di waktu rehat. Tak pandai memasak? Bermulalah! Bermula belajar memasak dan bayangkan apa yang boleh anda lakukan dengan kepandaian itu.
Ada orang mahu mengajak ahli keluarga makan-makan di rumah, tetapi tidak mampu. Sedih... Selalu adik beradik anda sahaja yang buat majlis makan, anda tak mampu kerana kewangan yang terhad. Apa kata, bila mereka buat makan-makan, anda tawar diri untuk bawa sesuatu. Contohnya kuih-muih atau pun sejenis lauk tambahan. Sekiranya untuk 10 orang makan, anda boleh mamasak lauk ayam masak kicap sebagai tambahan menu sedia ada. Dari situ, orang lain bersedekah, anda pun boleh tumpang sama. Modalnya mungkin sekitar RM25 sahaja untuk seekor ayam bersama bahan-bahannya. Jika ada tawaran, harga ayam menjadi murah lagi. Bijaklah membeli.
Ada kala, kita kena ambil kesempatan dengan 'menumpang' orang lain dalam sama-sama melakukan kebaikan. Dia bersedekah dan memberi, kita tumpang sama. Niat yang baik pasti Allah permudahkan.
Oh... Teringin hendak mengajak ahli keluarga makan-makan di rumah dengan dana yang terhad? Anda boleh, cuma buat bajet betul-betul supaya tidak melampaui apa yang anda ada.
Mula-mula, letak siap-siap berapa wang yang anda ada. Contohnya ada hanya mampu memperuntukkan RM250 untuk tujuan itu setelah mengumpulnya sekian lama. Ahli keluarga pula ada seramai 12 orang dewasa. Termasuk anda dan suami, 14 orang.
Percayalah. RM250 itu cukup! Malah, jika anda pandai merancang, ia mungkin lagi berbaloi.
Mula-mula rancang menu. Di sinilah anda kena bijak dan berhemah. Jika ia untuk makan tengahari bermakna anda perlu menyediakan hidangan berat.
Cadangan menu:
1. Nasi ayam
2. Nasi tomato
3. Nasi putih dan lauk-pauk.
Jika pilihan anda yang nombor 3, anda perlu menyediakan dua lauk. Anda mungkin rasa sukar membajet kerana nak buat lauk ayam atau ikan atau makanan laut yang lain. Besar belanjanya tu. Sayur pula kena ada. Untuk berjimat tapi masih mendapat hidangan yang lengkap, saya cadangkan anda buat sup ayam bersayur, ikan goreng bersambal dan telur dadar. Oh, sambal belacan jangan lupa.
Pemanis mulut, buah-buahan. Untuk tambahan menu, sejenis kuih seperti karipap atau pun cucur badak. Minuman pula boleh membuat sirap atau kordial strawberi sendiri atau pun limau ais yang menyegarkan.
Jika bajet RM250 anda ada lebih, boleh tambah rojak buah atau pecal.
Nah, dengan kesemua hidangan itu, makan-makan anda sudah penuh meja dan lengkap lagi menyelerakan.
Menjamu nasi ayam atau pun nasi tomato sebenarnya lebih simple suasananya. Jadi, anda tambahlah dengan kuih muih lebih sikit, contohnya, puding jagung dan cucur badak!
Pastikan juga tetamu anda tidak elergik mana-mana lauk yang anda sediakan. Jika ada yang tak makan ayam, bermakna untuk dia anda sediakan lauk yang sesuai. Tambah sedikit kari ikan contohnya dan beritahu pada tetamu lain, itu untuk yang alergik ayam. Mereka pasti faham. Namun, jika bajet anda cukup untuk menghidang dua lauk sekaligus, boleh juga begitu. Untuk sayur, boleh ditambah acar atau salad dan ulam-ulaman.
Jadi, anda rancanglah! Setahun sekali atau dua kali, anda mahu menjamu makan ahli keluarga atau kawan-kawan. Menyimpanlah sedikit demi sedikit bagi tujuan itu. Kita buat dengan cara dan kemampuan kita sendiri. Seronok...

No comments:
Post a Comment