Sunday, 1 June 2025

Serik ke majlis reunion sekolah




*Sarah* jarang turut serta bila kawan-kawan sekolahnya mengadakan majlis reunion. Bukanlah dia sombong atau tidak suka bergaul dengan kawan-kawan lama tetapi selalunya kerana kekangan kerja, tarikh yang tidak sesuai dan ada urusan lain, membuatkan dia tidak dapat hadir sama. 

Baru-baru ini selepas hampir 30 tahun tidak berjumpa Sarah mulai ada sedikit kelapangan. Dia pergi ke jemputan kawannya yang mengadakan kenduri perkahwinan anaknya. Itulah pertama kali dia berjumpa kembali kawan-kawan sekolah menengahnya setelah sekian lama. 

Balik dari perjumpaan itu dia bercerita dengan kakaknya, betapa dia menyesal pergi dan mungkin tidak akan menyertai lagi mana-mana perjumpaan selepas itu. 

"Kenapa?" tanya kakaknya, Salmi. "Tak seronok ke jumpa kawan-kawan lama?"

Sarah melepaskan keluhan. Lama dia mencari kata-kata. "Bukanlah tak seronok. Seronok. Jumpa kawan lama. Kami sembang macam-macam, mengimbau kenangan, gelak-gelak. Bergambar..."

"Dah tu?"

"Yang datang tadi semua dah berumur dah. Nak masuk 50 tahun. Tahun depan, semua kami berumur 50 tahun. Ada yang bermenantu, bercucu pun ramai. Tapi..."

"Jumpa musuh lama ke?" Kakak Sarah menelah. 

"Musuh tu bukanlah tapi yang mana waktu sekolah dahulu bergaduh, sampai sekarang masih bergaduh lagi. Lepas tu, masing-masing tak berubah, masih ikut kelompok sendiri macam zaman sekolah dulu."

"Ramai ke yang datang tadi?"

"Adalah dalam 30 orang. Kami semua satu tingkatan sekitar 100 orang kot. Tadi yang datang tu dalam pelbagai kelas. Kelas pandai, kelas tak pandai, kelas sederhana. Aku dalam kategori tak pandai kot." Sarah dan kakaknya sama-sama tergelak.

"Paling tak best ialah ada yang perli memerli..." Sarah meneruskan cerita. 

"Body shaming ke? Manusia macam ini sentiasa ada je di mana-mana."

"Itu pun ada! Kononnya bergurau tapi aku tengok kawan aku tu berubah mukanya bila sorang ni yang mulut lepas kata kat dia, kenapa kau gemuk sangat, muka macam orang tua dan langsung tak sama macam dulu. Hadoi. Zaman sekolah menengah kot... Takkanlah masih sama!"

"Dia yang mengata tu cantik sangat ke?"

"Itulah. Hati aku ni nak balas je. Kau pun gemuk, muka berkedut. Tapi tahan je mulut ni. Takut bergaduh. Lepas tu ada yang membanding-banding kerjaya. Si anu tu pangkat besar, Si Tun tu lakinya pangkat tinggi, anak siapa entah hebat sangat mereka cerita. Tak best je rasa sebab ada antara kami yang kerja biasa je, kahwin orang biasa atau ada yang tak berkahwin dan juga tak mempunyai anak. Lama-lama, makin diam grup kami sebab tahu ada perkara sensitif yang dijadikan gurauan. Masing-masing rasa sesuatu."

Sarah mahu menegur tetapi kerana dia pun jarang hadir ke perjumpaan maka dia hanya mendiamkan diri. Mujurlah ada seorang kawan yang menegur, meminta supaya mereka bersembang perkara lain yang tak ada kena mengena dengan hal peribadi. Kalau boleh cerita kenangan zaman sekolah dulu.

"Selepas itu, kami sembang hal zaman sekolah dulu. Mula-mula okey tiba-tiba ada yang perli aku, katanya aku suka membodek cikgu sebab itu banyak kelebihan."

"Hah, pulak!"

"Zaman sekolah lagi manusia dah berdengki-dengki. Kita hormat guru, berbuat baik dengan guru, dikata kita membodek. Agaknya mereka nak kita kurang ajar dengan guru, cakap kasar, tak hormat guru, baharu dikatakan geng mereka kot."

Sarah sebenarnya tersentak tadi kerana dia dikatakan membodek guru membuatkan dia sentiasa lulus cemerlang dalam ujian. Sedangkan dia bekerja keras waktu itu. Dia tak mampu ke kelas tuisyen berbayar jadi semuanya buat sendiri-sendiri. Belajar, mengulangkaji, bangun sebelum subuh untuk membaca nota dan buat latih tubi setiap hari sebelum solat. Tak mampu beli buku tambahan, Sarah meminjamnya di perpustakaan. Dia juga rajin hadir mana-mana kelas tambahan yang diadakan guru walau tak ramai yang mahu datang. Kadang, dalam kelas tambahan percuma itu ada beberapa orang sahaja yang turut serta. Sarah, wajib hadir!

Tapi mereka mengatanya membodek kerana itu lulus cemerlang. Meski diucap secara gurauan, Sarah tetap terasa hati. '

"Ada beberapa kawan yang okey tadi jadi aku akan pilih-pilih nanti jika ada lagi majlis reunion. Yang perangai suka sindir, perli, body shaming tu, seboleh mungkin nak elakkan." Kata Sarah. 

Kita jagalah mulut dan kata-kata supaya jangan melukakan hati orang walaupun niat asalnya mahu bergurau. Jangan kehadiran kita di majlis-majlis membuatkan orang lain tidak mahu turut serta kerana tak sanggup menghadap buruknya kata-kata kita.  

Sekadar Cerita Ceriti...


* BUKAN NAMA SEBENAR

No comments:

Post a Comment

Memburuk dan memfitnah rakan serumah supaya berpindah...

  Sekadar Cerita Ceriti... Jadikan kisah ini sebagai pengajaran yang menjadi panduan agar anda tidak melakukan kesilapan dan tindakan yang s...