Wednesday, 23 July 2025

Kawan yang sebenarnya tak akan memalukan atau jatuhkan maruah kita dihadapan orang...

 Sekadar Cerita Ceriti


Baru-baru ini saya mendapat tahu tentang sesuatu. Sesuatu yang benar-benar tidak dijangka. Daripada kawan yang saya anggap sebagai sahabat atau lebih tepat lagi, mereka sudah dianggap seperti keluarga. 

Rupanya itu bukan mereka sebenarnya. Kerana bagi saya, kita tidak melakukan itu, perkara yang mereka lakukan itu, kepada orang yang kita anggap rapat dan telah bersama selama bertahun-tahun.

Nama saya Ely. Ia berlaku ketika kami berada di program kami sertai bersama. Sambil berbual santai dengan kawan saya Min, tanpa sedar dia terlepas cakap. Mungkin dia tidak perasan agaknya. Saya perasan. 

"Kami, jika mahu memalukan awak, kami semua akan bergabung tenaga untuk memalukan awak bersama-sama," katanya sambil ketawa. Kami, yang dia maksudkan ialah dia dan dua lagi kawan baik saya, Yas dan Shasha.

"Kenapa pula?" saya bertanya. Ketika itu, hati mula merasakan sesuatu yang pedih, seperti mula terhiris harus dan menjadi luka. Terkejut sebenarnya dengan kata-kata Min itu. 

Adakah ia satu jenaka? Saya sengaja mengajak Min meneruskan lagi sembang kami.

"Sebab, kita semua tahu, kalau Yas cakap sesuatu, dia akan cakap tanpa sekatan, melepas dan selalu mengaibkan orang tanpa mengambil kira perasaan orang lain. Dan kita tahu tak ada sesiapa pun boleh menang perang mulut dengan Yas. Kalau kita bergaduh dengan dia pun, dia akan lebih memalukan kita. Kan? Jadi, kita akan guna kelebihan Yas kalau nak malukan awak. Jadi dapatlah kami menang... Hehehe..." Dia ketawa lagi. 

Nampaknya selama ini, memalukan saya adalah hiburan yang bagus untuk mereka. Dia fikir apa yang mereka lakukan, hanya gurauan?

Min langsung tidak menyembunyikannya. Seolah-olah saya tidak mempunyai perasaan langsung bercakap tentangnya. Dan kepentingan perasaan saya tidak diambil kira sama sekali.

Hanya Allah yang tahu bagaimana keadaan hati saya ketika itu. Perit dan luluh hati saya.  

Saya menahan diri daripada memarahinya, memanjangkan cerita atau terus mencari kepastian atau bertanya lebih lanjut. Saya mesti kuat dan mengawal perasaan saya. Saya bangun dan meninggalkannya. Perlahan-lahan, menabah dan menyejukkan hati di tempat lagi. Saya rasa dikhianati.

Saya mula berfikir panjang. Satu persatu semuanya muncul. Baharu perasan. Patutlah, bila kita berbincang atau membuat keputusan atau apa-apa pilihan dengan kumpulan, jika pendapat saya tidak dipersetujui, Yas akan mengeluarkan kata-kata kasar dan tidak sopan kepada saya. Saya memang akan melawan tetapi apabila dia melakukannya di hadapan orang lain, ada orang lain di sekeliling kami, saya tidak suka diperhatikan, lalu mengalah, menerima dan berdiam. 

Difikirkan kembali, terlalu banyak kejadian, Yas mengeluarkan kata-kata kasar yang memalukan saya apabila di hadapan ramai orang. Tapi saya selalu dipujuk dan diingatkan Min dan Shasha, Yas memang begitu dan jangan ambil kisah dengan dia. Bukankah dia kawan kita sudah lama? Mereka akan berkata seperti itu. Itulah yang mereka selalu beritahu saya. Pada setiap kejadian yang berlaku sebelum ini.

Setiap kali, apabila Yas melemparkan kata-kata kasar dan tidak beradab kepada saya apabila kami berselisih faham tentang sesuatu di khalayak ramai, contohnya ketika kami memilih masa untuk menempah permainan boling, ketika membincangkan pemilihan pakaian untuk jualan amal, atau ketika memilih tarikh membeli tiket kereta api ke tempat percutian yang dirancang, dia sering melemparkan kata-kata yang mengaibkan saya. Akhirnya dia menang. 

Namun, yang menghairankan, Yas tidak begitu apabila kami hanya berempat, atau hanya saya dan dia. Dia, boleh dikatakan, kawan yang setia juga. 

Saya sering berpesan kepada diri sendiri agar melupakan sikap Yas walaupun sudah berkali-kali menyakitkan hati. Lagipun kami berkawan baik sejak sekolah menengah. Ternyata kawan-kawan mahu saya diperlakukan sebegitu. Seolah-olah itu hiburan buat mereka. Sedihnya. 

Pada usia 26 tahun, saya mula merasakan bahawa selama ini saya hanya menerimanya atau lebih tepat lagi terlalu menerima. Betul, kami berkawan sejak sekolah menengah tetapi apabila saya mengetahui perkara sebenar, rasa seperti menjadi mangsa buli oleh orang yang saya percayai dan sayangi sekali.

Kenapa saya biarkan ia berlaku? Mengapa saya seolah-olah tiada pilihan?  Bodohnya.

Tidak, saya tidak boleh biarkan ia berlaku lagi dan sebab saya otak dan pilihan!

Di tempat kerja saya mempunyai rakan sekerja, Zizi. Sejak dua tahun bekerja di situ, Zizi menjadi kawan baik saya. Dia tahu tentang Min, Yas dan Shasha tetapi tidak pernah terlibat dengan mereka. 

Persahabatan kami hanya di pejabat dan sebagai kawan yang keluar bersama pada waktu rehat makan tengah hari, atau pun 10 minit minum kopi bersama semasa coffee break di pantri pejabat kami.

Saya beritahu apa yang berlaku. Zizi mendengar dengan penuh simpati dan bersetuju, kawan baik tidak sepatutnya berbuat demikian kepada rakannya. 

"Adakah saya terlalu sensitif atau tidak tahan bergurau antara kawan, Zizi?"

"Awak dah lama berkawan dengan mereka kan? Awak buat keputusan sendiri yang bijak. Awak rasa apa yang mereka buat itu okay dan boleh terima?"

Saya menggelengkan kepala. "Tidak... Sakit dan sedih hati ini selepas mengetahuinya."

"Apa yang saya boleh nasihatkan, pertama, awak berdepan dengan mereka. Selesaikan dan tanya kenapa dan rasional di sebalik perlakuan itu. Tapi kalau saya, malaslah nak buat semua tu. Sebab ia lebih menyakitkan. Mereka mungkin memberi alasan dan alasan, tetapi bagaimana kita menerimanya? Itu perkara lain!

"Kedua... saya akan menjauhkan diri. Bukan putus dengan mereka tetapi teruskan hidup awak. Cari dunia baharu, kawan baharu, pengalaman baharu dan menyeronokkan. Tanpa mereka. Dan kali ini berhati-hati dengan orang seperti itu. Supaya tidak berulang lagi."

Sebelum rehat tengah hari kami tamat, Zizi berkata sesuatu. "Ely, pada pendapat saya, kalau orang buat seperti itu, bersubahat dan berkongsi idea di belakang awak untuk malukan awak depan orang lain, maaflah, mereka bukan kawan." Saya benar-benar berasa sedih. Kecewa. Betul kata Zizi itu. 

Saya pun mula mengambil langkah dengan menjauh daripada mereka bertiga. Tidak lagi keluar bersama selepas  waktu kerja. Makan malam bersama di restoran berdekatan, menonton wayang dan berjoging pada pagi hujung minggu di taman rekreasi rutin kami.

Sebulan berlalu saya tidak menyertai mereka, apabila diajak dan diingatkan, saya menolak. Tanpa memberi sebarang alasan. Saya hanya berkata tidak mahu mengambil bahagian. Noktah. 

Kenapa saya buat begitu? Sebabnya saya tak mahu lagi menjadi orang yang jaga perasaan orang lain. Tengoklah apa yang berlaku. Saya menjadi mangsa gurauan kejam mereka.

Saya terus beritahu mereka, tidak mahu pergi atau menyertai mereka. Mereka bertanya, mengapa. Saya tidak membalas.

Sabtu tu, setelah lebih kurang 2 bulan berlalu, saya bersiap-siap untuk ke jemputan hari jadi di rumah Zizi. Ini adalah kali pertama menerima jemputannya kerana sebelum ini hujung minggu saya selalu dihabiskan bersama Min, Yas dan Shasha. Sejak pagi, cuaca agak mendung kerana semalaman, hujan agak lebat di bandar kami.

Pintu apartment satu bilik saya diketuk. Dapat mengagak siapa yang datang kerana selain ibu bapa dan abang saya yang mengetahui rumah ini, hanya mereka bertiga sahaja yang sering berkunjung. 

Saya mencapai beg tangan, payung dan hadiah yang berbalut cantik lalu membuka pintu. Bersedia untuk pergi.

"Ely, awak hendak keluarkah? Hari ni kita pergi bowling dan makan malam di medan selera Merah.." Ujar Shasha sebaik pintu dibuka.

"Saya dah cakap. Saya tak ikut kan."

"Kenapa?" tanya Yas.

"Saya pergi rumah Zizi. Ada sambutan hari jadi adik dia."

"Wah! Dah ada hadiah. Zizi? Dia kawan pejabat awak kan? Awak rapat sangatkah dengan dia? Soalan demi soalan dilemparkan kepada saya.

"Saya nak keluar sekarang. Maaf. Dah lewat."

Min memegang lengan saya, menahan saya dari terus melangkah.

"Ely, kenapa awak jadi macam ni? Apa masalah awak? Kita dah ada rutin. Hujung minggu bersama. Sudah tentu persahabatan kita lebih bermakna daripada hari jadi adik si Zizi tu."

"Zizi kawan baik saya." Saya menjawab. Tegas dan pendek.

"Ya. Tapi kami kawan baik awak sejak sekolah menengah lagi. Bukankah kita sudah berjanji untuk berkawan selamanya walaupun sudah berkahwin. Sampai ke anak dan cucu."

Dada saya sebak. Saya mesti kuat dan menahan diri daripada menangis.

"Oh. Awak semua nak berkawan dengan saya sampai ke anak cucu kan? Habis tu kenapa awak berpakat nak malukan dan aibkan saya di hadapan orang."

Mereka bertiga kelihatan keliru dan kabur seketika. 

"Saya dah tahu apa yang awak semua buat pada saya. Min, dia tak sengaja beritahu saya."

Kemudian saya memberitahu mereka semuanya kembali. 

Min terkejut. Tidak sedar semuanya kerana apa yang keluar dari mulutnya. Shasha ternganga. 

Yas merenung Min dan Shasha dengan muka tidak percaya. Dialah yang mula bercakap dahulu selepas itu.

"Ely, saya tak tahu. Saya tak tahu, sumpah saya tak tahu."

Min mengesat air matanya. "Maafkan saya semua. Ely, sebenarnya Yas memang tak tahu. Hanya saya dan Shasha yang tahu."

Shasha tunduk. Tidak menafikannya. 

"Maknanya selama ini kamu berdua menggunakan kelemahan saya untuk berbuat begitu kepada Ely. Saya dijadikan seperti robot. Kamu berdua mengambil kesempatan ke atas saya dan Ely. Kejamnya!" Suara Yas meninggi. Dia menutup mukanya. Tidak sangka menjadi patung mainan untuk kawan-kawan mainkan. 

"Saya malu... Tapi saya tetap bersalah. Tidak dinafikan." kata Yas lagi. "Ely..." Yas merenung wajah saya. Tangannya erat memegang tangan saya. Dia menangis. Dari riak wajahnya saya dapat agak wanita itu ikhlas. 

Shasha turut bersuara. "Ely, Yas, saya...saya..." Suaranya bergetar. Dia tidak dapat mencari alasan mempertahankan dirinya. 

Selepas hampir dua bulan, hati saya semakin kuat. Saya berjaya mengawal kesedihan dan kemarahan sebelum ini. Yang tinggal sekarang hanyalah pengajaran. 

Saya merenung mereka satu persatu. 

Masing-masing memohon maaf atas apa yang berlaku. Saya orang yang merasai segala-galanya. Dihina dan dijatuhkan maruah. Saya terima selama ini kerana menyangka ia tanda kasih sayang dan pengorbanan dalam persahabatan. Saya juga tidak mahu bergaduh dengan sahabat sendiri kononnya. 

Mereka? Mereka menganggap apa yang berlaku hanyalah perkara kecil. Masing-masing beranggapan mudah untuk melupakan segalanya dengan hanya meminta maaf sebegitu sahaja.

Teringat kata-kata Zizi. Kawan baik takkan buat macam tu. Jadi walaupun mereka menjanjikan bulan dan bintang, apa yang mereka lakukan tidak mencerminkannya sama sekali.

Walaupun saya tahu, secara teorinya, Yas tidak bersalah, dia masih mempunyai akal untuk berfikir sendiri apa yang baik dan buruk. Dia boleh berfikir sendiri. Mengapa meletakkan kesalahan itu pada provokasi orang lain? 

Sebelum meninggalkan mereka, walaupun banyak perkara yang saya ingin katakan kepada mereka bertiga sebelum ini, hari itu tidak berlaku. Saya hanya mengatakan ini...

"Saya tak nak putuskan persahabatan kita. Awak bertiga tetap kawan saya. Saya cuma harap awak jangan buat perkara sama pada orang lain. Tolong berubah. Sekarang saya ada kawan saya sendiri, sedangkan dulu saya rasa cuma ada awak bertiga. Dan saya ada hobi dan minat sendiri, yang boleh saya teruskan tanpa perlu bergaduh dengan awak semua, hanya kerana awak tidak suka. Saya beralah dan menerima. Tidak lagi sekarang. 

Kita teruskan kehidupan. Maaf, saya tidak boleh menerima keadaan ini dan melupakan apa yang berlaku seperti memetik jari.  Juga tidak mampu melayan kalian seperti dahulu. Sampai bila, saya pun tak tahu. Saya nak pergi majlis hari jadi! Bye bye.

Malam itu telefon saya penuh dengan mesej panjang lebar meminta maaf daripada Min, Yas dan Shasha. Masing-masing mahu kami terus berkawan seperti biasa. Saya tidak membalasnya.

Di rumah Zizi, saya disapa rakan-rakan yang lain. Ada yang dari tempat kerja sama. Ada juga kawan baru yang diperkenalkan Zizi. 

Selepas majlis Zizi selesai, seorang kawan baru, Nina mengajak saya menyertai kelab buku di perpustakaan pekan kami. Dia sudah menjadi ahli di sana. Sesuatu yang saya minat sebelum ini tapi tak menyertainya kerana Min, Yas dan Shasha tak suka.

Ia adalah permulaan baru yang belum terlambat untuk saya. Saya mempunyai hak untuk memilih jalan hidup sendiri, hobi dan impian sendiri. Tanpa perlu bergaduh dengan sesiapa setiap kali mahu membuat pilihan. Tidak perlu mendapatkan kelulusan orang ini, orang itu. Tidak perlu bergaduh atau memendam hati kerana saya tidak mendapat apa yang diinginkan. Akhirnya, menyesal dan menyalahkan keadaan. 

Sekarang, semuanya saya tentukan sendiri. Ke arah masa depan yang bahagia yang pastinya lebih bermakna buat saya.

Memang rasa agak janggal pada mulanya tetapi tidak lagi. Saya suka saya yang baru ini. 

Saya masih memerlukan kawan dan menghormati pilihan dan kesuka mereka. Namun,  tidak lagi mengambil mudah pada kehendak dan keputusan saya sendiri.

Yas menghantar mesej, dia sedang cuba mengawal diri dan barannya daripada mudah diprovokasi orang lain. Dan dia juga telah menjauhkan diri dari Min dan Shasha. Dia harap saya maafkan dia dan teruskan persahabatan kami semula seperti dulu. Saya membaca mesejnya tetapi tidak membalas. Dia masih kawan saya. Cuma perasaan saya padanya tidak sama lagi.

Bagi Min, Shasha dan Yas, saya harap mereka tidak mengulangi perbuatan yang sama kepada orang lain. 

Pengajaran dari kisah ini, jangan merancang atau bersubahat untuk memalukan sesiapa, sama ada dia kawan kita atau orang asing. Kepada sesiapa pun, JANGAN! Kerana, bagaimana rasanya jika anda sendiri yang menjadi mangsa. 


Nota: Bukan nama sebenar. Cerita ini telah disunting, ditulis semula, diubah dan hanyalah rekaan. Yang baik harus dijadikan teladan, yang buruk jangan diikut dan dijauhi. Berbuat baik sesama insan. Sentiasa berbuat baik sepanjang masa. Terima kasih.




No comments:

Post a Comment

Memburuk dan memfitnah rakan serumah supaya berpindah...

  Sekadar Cerita Ceriti... Jadikan kisah ini sebagai pengajaran yang menjadi panduan agar anda tidak melakukan kesilapan dan tindakan yang s...