Sekadar Cerita Ceriti...
Cerita ini sebagai sempadan atau pengajaran sahaja.
"Bagi keluarga yang baru membina kehidupan mereka. Anak-anak masih kecil, masih rebung orang kata, jangan sesekali terlewat sedar pada kepincangan keluarga kita walau mereka masih kecil."
Bagi *Zarina, dia bukanlah pakar keluarga bahagia. Tapi ibu bapa bila lihat anak-anak yang suka bergaduh, berdengki-dengki, berbalas kata dan dendam kesumat sejak kecil, jangan ungkapkan 'alah, derang kecik lagi. Nanti dah besar tahulah derang berbaik tu.'
Mungkin... Mungkin betul terjadi begitu tetapi mungkin juga sebaliknya. Anak-anak yang masa kecil dahulu suka bergaduh, bermusuh, membenci dan berdengki, rupanya berlanjutan hingga dewasa sehinggalah mereka tua bangka. Ia kenyataan yang banyak terjadi.
Zarina sudah hampir 60an usianya sekarang. Adik beradik *7 orang. Seorang, baharu meninggal dunia.
"Kiranya tinggal 6 orang sahaja. Tetapi yang seorang lagi, adik saya, menghilang diri tanpa kami tahu ke mana perginya. Dia memadamkan dirinya dari keluarga..."
"Hilang?" Zarina mengangkat bahunya. "Hidup ke dia lagi?" tanya saya. Saya bertanya ini kerana sering berlaku tentang kehilangan misteri yang mana akhirnya diketahui, orang itu sudah pun mati!
Zarina mengangguk. "Hidup... Ada yang tahu dia masih hidup. Saya cuba mencari dan berhubung tetapi dia terus hilang..." Dia tak mahu ditemui.
"Sebab?" Sukar membaca riak Zarina dari cerita ini. Wajahnya kosong. Mungkin kerana terlalu lama, dia sudah tidak mempunyai apa-apa perasaan tentangnya. Iyalah, berpuluh tahun telah berlalu.
Dia kemudiannya menjawab, "Mungkin merajuk..."
Zarina menyambung cerita. Keluarganya penuh toksik. Tiada kasih sayang dalam mereka adik beradik. Tidak pernah berbaik dari kecil lagi. Kematangan dan kedewasaan tidak mengubah apa-apa. Apabila bapa meninggal, emaklah yang tinggal untuk menjadi tumpuan sekeluarga mencurah dan berkongsi kasih. Tetapi itu tidak berlaku. Apa yang terjadi semasa mereka kecil, tidak berubah.
"Saya tak tahu memberi nasihat tetapi para ibubapa, bila nampak keadaan ini, bendunglah dari awal. Dapatkan nasihat dari orang yang lebih pandai cara memupuk kasih sayang dan kerapatan antara anak-anak. Jangan biarkan atau redha sahaja dengan apa yang berlaku."
"Adakah salahnya dari ibu bapa juga?"
"Mungkin... Tapi saya tak nampak ia masalah yang berat dari sudut itu kerana kita semua ada otak dan boleh berfikir. Paling penting kita ada agama, ada Allah. Mengapa kita terus membiarkan diri sentiasa bergaduh, membenci, berdengki, tak puas hati dengan sibling kita sendiri? Bukankah ia tak menyeronokkan dan merosak hati sendiri?"
Zarina menceritakan bagaimana adik beradiknya berebut rumah pusaka dan meminta menjualnya walau ibu mereka masih hidup. Mereka memberi idea, selepas jual, ibu boleh tinggal dengan Zarina. "Bukan mereka offer tinggal dengan mereka sebaliknya suruh orang lain. Saya memang yang menjaga emak sekarang tapi sedihlah, mahu mengambil harta cara begitu. Dan ketika emak masih hidup."
"Sedih sebenarnya. Sebuah keluarga yang tiada kasih-sayang langsung macam kami. Setelah jenuh berusaha, akhirnya saya hidup dengan cara sendiri sahaja. Hanya fikirkan emak. Agaknya kerana itulah adik saya tu membuang dirinya dari keluarga kami. Cerita sebenarnya saya tak tahu tapi mungkin, dia mencari bahagia."
Bila melihat perkara sebegini berlaku pada orang lain, terus perhati keluarga kita sendiri. Ada orang yang confident, keluarga dia tak mungkin jadi begitu dan serba sempurna, didikan tertinggi. Baguslah jika ia benar-benar begitu. Cuma, jangan pula membuang kepincangan keluarga kerana tidak menerima hakikat ia berlaku, yang kemudiannya menjadi teruk dan semakin teruk. Akhirnya terlewat...
* Bukan nama sebenar. Kisah ini disunting/ditulis/diubah dan sekadar fiksyen. Yang baik jadikan tauladan, yang tidak baik jangan diikut serta mesti dijauhi.

No comments:
Post a Comment